Monday, January 26, 2009

Mimpi Kamariah

Kamariah tersentak dari tidur. Dadanya bergoncang dan peluh menitis dari dahi. Sungguh menggemparkan sekali mimpinya. Lalu dia bangkit dan melangkah dari katil ke tingkap bilik tidur dan melihat keluar. Damai sekali malam itu, cahaya bulan serta lampu jalan menabur bayang-bayang tenang dari pokok mangga di halaman rumah. Sungguh berbeza sekali dengan perasaannya pada masa itu yang bergelora dengan rasa kesunyian yang tak terhingga.

Jam menunjukkan pukul 3.20 pagi. Dalam kegelapan Kamariah melangkah ke dapur dan meminum seteguh air sejuk. Dalam samar-samar kegelapan itu juga dia dapat melihat dapur dan ruang-ruang rumah yang tersusun kemas dan terhidu bau wangi sejambak bunga yang ada di atas meja di ruang tamu. Kamariah mengeluh kecil sambil melangkah balik ke bilik tidur: “Rumahku dan hidupku sungguh teratur, tetapi untuk siapa? Adakah cukup untuk aku seorang sahaja!”
.............................................

Dari pejabatnya Kamariah menelefon Mak Sunya. Dia teringin melawat ibu saudara yang paling rapat dengannya petang itu juga. Sudah lama mereka tidak bertemu. Mak Su adalah satu-satunya orang yang pernah memanjakan dia dan sekrang tanpa Datin Fatimah, Mak Su kakak sulung ibunya itu adalah tempat bermanja dan mengadu bagi Kamariah.

“Lama kau tak datang Kem?” tegur Mak Su selepas Kamariah mencium tangannya.

“Sibuklah mak, kerja tak habis-habis” sahut Kamariah.

“Kau tak takut duduk sorang-sorang kat rumah tu?” Tanya Mak Su buat kali yang keseratus agaknya!

“Dah biasa mak! Mana Yem dan Ani?”

“Belum balik lagi, Kem, selalunya memang lambat”, jawab Mak Su.

Mereka berbual perkara-perkara kecil sambil minum teh. Masa berlalu dan Kamariah belum terdaya menimbulkan soal mimpinya. Kamariah sentiasa berada terlindung dan selesa sekali bila berada di samping Mak Sunya. Orang tua itu banyak mengenalkan Kamariah kepada latar belakang ibu dan bapa kesayangannya. Namun demikian, kadang-kadang Kamariah rasa ingin menanyakan siapakah sebenaranya ibu bapa kandungnya, tetapi sehingga sekarang dia masih belum berani lagi. Dia percaya Mak Su tentu tahu.

Kamariah sedar dia adalah kelahiran Cina dan hakikat inilah yang memberatkan lagi akibat bersabit harta-bendanya sekiranya dia mati tanpa meninggalkan zuriat. Kamariah telah dibesarkan dengan secukupnya tata susila kemelayuan dan keagamaan dan telah sebati dengan cara hidup ini di sebalik cara hidup yang juga kebaratan. Di hati kecilnya tidak wujud sedikitpun tarikan ciri-ciri kecinaan selain dari memandangnya sebagai suatu perkara kebudayaan dan yang tidak dapat dielakkan dalam masyarakat berbgai bangsa di negara ini. Ini jua membuat Kamariah curiga sekiranya dia sanggup menghadapi kedua-dua ibu bapa sebenaranya sekiranya ada peluang sedemikian.

“Che Jaafar ada telefon kau ke Kem?” tiba-tiba Mak Su bertanya.

“Tak adalah! Kenapa pula dia nak telefon Kem? Dia nak amil bank loan ke?” Kamariah menyahut, agak terkejut dari lamunannya dan agak anih dengan timbulnya nama Che Jaafar.

“Kau ni sampai bila nak membujang? Che Jaafar tu kan dah lama menduda. Dulu masa Ayah Mat kau masih hidup dia pernah merisik pasal engkau. Tapi kau tahulah aruah tu, dia tak mahu bangkitkan perkara ini pada kau. Takut kau melenting, katanya. Kebelakangan ini pula bila bertemu dengan Yem dan Ani, Che Jaafar tu selalu tanya pasal engkau. Dia baik orangnya, Kem. Kesian, isterinya meninggal dah tiga tahun. Anak tunggalnya pun dah besar, sekarang belajar kat Amerika. Dia tu duduk sorang macam kau juga. Kata Yem lagi dia pernah tanyakan sama ada kau tu dah terikat. Berapa umur kau sekarang Kem?“

Kamariah hampir tidak percaya apa yang didengarnya. Che Jaafar yang dikenalinya sebagai sahabat baik keluarga mereka, yang sentiasa ada di majlis-majlis kenduri, tahlil dan lain-lain majlis keluarga mereka. Umurnya tentu lebih dari lima puluh tahun tetapi orangnya masih segak dan tampan. Kamariah tidak menyangka sekali yang Che Jaafar mempunya apa-apa minat terhadapnya. Di mana-sama mereka bertemu di majlis-majlis tadi Kamariah sentiasa menegur hormat kepadanya sebagai rakan baik bapa dan bapa saudarnya. Che Jaafar pun sentiasa bersikap sopan terhadapnya. Kamariah sungguh terperanjat.

“Mak ini merepeklah!” bantah Kamariah, namun hatinya mula berdebar. “Takkan dia hendak dengan saya. Ramai lagi perempuan lebih muda dari saya. Lagipun saya tak tahu menahu kalau benarpun. Mak percaya dengan Yem dan Ani tu?”

“Yem tu kerja dalam bangunan yang sama dengan Che Jaafar, selalunya mereka bertembung. Si Ani pulak selalu ke rumah Cik Siti, adik Che Jaafar tu. Anak Cik Siti, Ena tu kawan baik Si Ani. Sekali-sekala Si Ani jumpa Che Jaafar di rumah Cik Siti tu. Ada sekali Che Jaafar pernah hantar Ani dan Ena ke sini. Mak ajak dia naik tapi dia agak segan pulak. Sebenarnya Cik Siti pernah telefon pada mak beberapa minggu dulu, katanya dia nak berbincang sesuatu. Mak kata datanglah, tapi tiba-tiba dia terpaksa ikut laki dia ke Singapura. Bila dia balik nanti tentu dia telefon mak lagi. Mak tahu ini mesti tentang Kem dan Che Jaafar. Jadi macam mana Kem, kau setuju tak? Kau tahu, Yem kata kat pejabat Che Jaafar tu ramai betul peminatnya tapi dia sikitpun tak kisah“.

Kamariah menjadi bingung. Fikirannya bercabang seribu. Ini semua seoralah-olah mimpi, sambungan mimpi buruknya semalam, hanya kali inii ia lebih mengelirukan dalam kejelasannya.
”Kau duduklah dulu Kem. Mak nak masuk sembahyang. Fikirlah baik-baik. Semoga Tuhan buka kan hati kau”.

Di sepanjang perjalanannya ke rumah, wajah-wajah Che Jaafar, Dr. Wilson, Malek, Datuk Talib dan Datin Fatimah bergilir-gilir muncul di fikiran Kamariah. Dia sungguh keliru. Kenapa dengan mendadak timbul perkara ini dan mengapa selama ini Mak Su, dan sepupunya Yem dan Ani tidak pernah mengatakan apa-apa tentang perkara ini kepadanya. Kata-kata Mak Su berulang-ulang bermain di ingatan beliau....

" Che Jaafar tu baik orang nya... Che Jaaafar tu baik orangnya... baik orangnya... Che Jaafar tu..... "

"Mak dan ayah kau tak pernah sempat menimang cucu. Mansor sampai sekarang belum dapat anak. Kau tak ingin ke punyai keluarga Kem? Mak bukan apa apa, tapi harta benda kau tu nak tinggal pada siapa.....pada siapa.....pada siapa....?"

Soalan terakhir itu tepat kaitan dengan mimpinya semalam dan Kamariah sedar dia tak perlu membangkitkan tentang mimpinya lagi.....

1 comment:

Hjh Hayley said...

Ada sambungan lagi thak tentang cerita Kamariah ni? Rasa tak habis lagi tau.